Skip to main content

Jaga aurat diri dan orang lain


Hari ini saya mahu kongsikan pengalaman saya sendiri ketika menumpang solat di surau Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada suatu ketika dahulu. Ketika itu saya menunggu penerbangan saya ke Johor Bahru, Johor. Memandangkan masih mempunyai banyak masa dan kebetulan saya pula belum menunaikan solat Asar. Jadi saya bercadang untuk menumpang solat di surau lapangan terbang itu terlebih dahulu.

Saya memasuki ruang solat yang ketika itu hanya terdapat dua orang wanita yang sedang tekun menunaikan solat. Saya masuk dan pintu sudah saya tutup rapi. Ruang surau itu agak sempit sedikit dan saya kira mungkin hanya mampu memuatkan 8-10 orang sahaja. Saya mula bersiap sedia untuk mengambil wudhuk. Ketika saya sedang mengambil wudhuk, salah seorang wanita yang telah selesai menunaikan solat tadi membuka pintu untuk keluar. Wanita itu membuka pintu seluas-luasnya dan tidak pula menutupnya semula. Pintu yang terbuka itu segera saya tutup. Ketika itu saya hanya berfikiran positif, 'mungkin wanita itu tergesa-gesa'

Saya menyambung semula mengambil wudhuk yang tadi hanya separuh jalan dan mula menunaikan solat. Setelah selesai, terdapat beberapa kumpulan (wanita) yang mula masuk ke dalam surau. Surau menjadi bising dan penuh. Memandangkan surau tersebut penuh, ada segilintir mereka yang berdiri di hadapan pintu surau menunggu giliran untuk solat dengan pintu yang terbuka luas. Saya memalingkan pandangan saya ke pintu yang terbuka (saya masih memakai telekung ketika itu), terdapat sekumpulan lelaki yang berada berdekatan pintu surau wanita tersebut. Mereka (lelaki) mungkin sedang bersiap sedia untuk solat kerana sebelah surau kami (wanita) adalah surau lelaki. Ketika itu mata saya mula meliar melihat wanita-wanita yang baru masuk yang membuka tudung untuk mengambil wudhuk (bersiap untuk menunaikan solat). Dan ada juga yang telah selesai menunaikan solat, berdiri di hadapan cermin untuk memakai tudung sebelum keluar.

Terdetik di hati saya;

'Tidak risaukah mereka sekiranya aurat mereka ditonton oleh sekumpulan lelaki yang berada di luar?'

atau

'Tidak terfikirkah wanita yang berada di depan pintu surau yang menunggu giliran untuk solat tentang aurat wanita lain yang ditonton secara percuma dek pintu yang dibuka?'.

Memandangkan terlalu ramai orang di dalam surau tersebut, saya segera menyalin telekung yang masih rapi dipakai dengan pelbagai persoalan yang hanya mampu bermain di dalam kepala. Saya terpaksa mengambil kedudukan yang agak tersorok dari pintu surau untuk menyarungkan tudung, memakai handsock dan stokin. Setelah selesai, saya melangkah keluar dari surau. Sempat saya berpesan kepada wanita yang berdiri di hadapan pintu supaya menutup pintu tersebut agar tidak dilihat oleh lelaki yang berada di luar surau dengan nada yang baik.

Situasi seperti itu bukan pertama kali dilalui oleh saya. Saya pernah ketika menumpang solat di surau yang terdapat di stesen minyak dan terpaksa menutup pintu berkali-kali kerana segelintir mereka (wanita) tidak 'gemar' menutup pintu. Baik ketika mereka keluar atau masuk ke dalam surau. Malah apa yang menyedihkan saya, terdapat wanita yang berada di dalam surau tanpa bertudung dan lengan baju yang disingsingkan sehingga ke siku kerana baru selesai mengambil wudhuk tidak mengendahkan pintu yang sedang terbuka luas.

Mungkin ianya agak remeh pada pandangan orang lain tetapi agak besar pada pandangan mata saya. Ini kerana saya yakin ramai lagi wanita di luar sana berusaha untuk menutup dan menjaga aurat diri sebaik mungkin. Baik sebelum keluar rumah dan juga ketika berada di luar rumah. Namun kerana sifat tidak peka segelintir mereka (wanita), dosa kami terhimpun. Walaupun tanpa sengaja dan nampak seperti perkara kecil tetapi sekiranya dihimpun berulang kali akan menjadi perkara yang besar yang mungkin akan menutup hati kita.

Ingatlah sahabat, bahawa tanggungjawab kita bukan sahaja menjaga aurat sendiri tetapi juga menjaga aurat orang lain. Saya bukan manusia yang baik tapi saya sedang berusaha untuk menjadi baik di mata Allah. Jadi sama-samalah kita (hamba yang lemah lagi hina) berusaha mencari redhaNya dalam setiap perlakuan harian kita. Moga perkongsian saya ini bermanfaat buat semua.

Comments

  1. Betul tu..selain diri sndiri,tgjawab kita juga berusaha jaga aurat dan aib org lain..kita jaga dan patuh perintah Allah..insyaAllah aib kita Allah jaga

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Percutian ke Pulau Kapas, Terengganu yang Penuh Dengan Aktiviti Menarik

Baru-baru ni Ainy dan kawan-kawan berpeluang bercuti ke Pulau Kapas. Kalau anda nak tahu, Ainy ni jenis suka dengan apa saja jenis pulau dan pantai. Suka sangat! Tapi yang tak suka bila balik dari pulau atau pantai ni mesti kulit sunburn teruk. Grrhhh! Tapi tak pernah serik pun sebab tu bila kawan-kawan ajak ke Pulau Kapas ni, Ainy tak menolak malah excited!

Borneo Natural Sukau Bilit Resort, Sabah antara Lokasi Percutian yang Sesuai Buat Pencinta Alam

Baru-baru ni Ainy berpeluang bercuti ke Sabah dan Ainy dan kawan-kawan pilih untuk ke Sukau, Sabah. Untuk anda yang tak tahu, percutian Ainy ke Sukau, Sabah agak berbeza dari percutian Ainy yang biasa sebab kali ni Ainy lebih pada bercuti untuk connect dengan nature. Dah macam kira percutian; back to nature dah tau. Untuk percutian ni, Ainy dan kawan-kawan pilih untuk menginap di Borneo Natural Sukau Bilit Resort, Sabah. Bila Google nama resort ni, anda akan jumpa gambar resort dia yang cantik dan unik. Sebab tulah Ainy dan kawan-kawan pilih resort ni dari resort-resort yang lain. Okay jom baca kisah Ainy kat bawah ni sepanjang kat sana okay.

Aspiro Tawar Perkhidmatan Perniagaan Global Pertama di Malaysia

Baru-baru ni Ainy menyertai pelancaran "Aspiro Global Business Services Centre" dan apa yang menariknya tentang Aspiro ni rupanya diorang adalah Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global Pertama di Malaysia. Aspiro yang berstatus MSC ini memilih Malaysia untuk dijadikan sebagai headquaters menawarkan khidmat terbaik dalam pengurusan sumber manusia, teknologi maklumat, akaun dan kewangan kepada lebih 80,000 pengguna yang mempunyai perniagaan di Indonesia dan China.